Pekan Parit sungguhpun tidak besar dan tidak membangun seperti di kawasan Bandar, ia meninggalkan kenangan manis dan membangkitkan nostalgia kepada kayuhan ACT pada siri jelajah Kayuhan Cinta Negara Fasa 3 Julai lalu. Walaupun hanya satu malam di pekan yang letaknya di daerah Perak Tengah itu, keharmonian masyarakat Parit dapat dirasai.

Suasana pagi minggu di pekan yang bermercu tandakan sebuah jam tinggi itu tidaklah sesibuk hari-hari biasa. Jalan utamanya lengang kerana tidak ramai yang bergegas mahu ke tempat kerja manakala anak-anak sekolah masih lagi diulit mimpi.

Namun, hujung minggu di pekan kecil ini tetap hidup dengan masyarakat setempat yang keluar ke pasar dan juga bersarapan di kedai-kedai kopi atau popular disebut kopi tiam.

Di sekitar Pekan Parit sahaja terdapat kira-kira 16 buah kopi tiam yang tidak pernah surut dari kunjungan masyarakat setempat mahupun orang luar. Ia dibuka di deretan bangunan-bangunan lama bercirikan Inggeris yang dibina sejak tahun 1825.

Pemilik kopi tiam Wong Hai Chu, 70 adalah generasi ketiga yang meneruskan tradisi kopi tiam keluarga Wong. Sejak usianya 16 tahun, Uncle Wong sudah mula membantu di kedai kopi yang dibuka oleh datuknya 80 tahun yang lalu.

Tangan tuanya cukup cekap membancuh pelbagi jenis minuman yang diminta pelanggan. Sesekali suara dan gelak ketawanya yang ceria memenuhi ruang kedai yang memuatkan 12 buah meja bulat itu. Kata Uncle Wong, sentuhan istimewanya ialah pada kopi susu turun temurun yang dipelajari daripada mendiang datuknya.

“Kalau minum hari ini, nanti malam boleh mimpi. Esok pasti datang lagi,” demikian kata Uncle Wong yang sangat mesra dan sentiasa tersenyum.

Selain menu tradisi Kopi Tiam iaitu pelbagai jenis kopi dan teh, roti kaya, telur separuh masak, cucur cakoi, pau pelbagai inti dan nasi lemak daun pisang, Uncle Wong turut menyediakan ruang hadapan kedainya buat peniaga roti canai, Abdul Kadir Yeop Abdul Manaf, 50.

Bagi Uncle Wong yang mengusahakan kedai kopi tersebut bersama isterinya, pelanggan yang berkunjung ke kedai kopinya bukanlah orang asing. Ada yang dikenali sejak kecil malahan ada juga pelanggan turun-temurun, iaitu generasi ketiga yang datang minum pagi di situ kerana sudah terbiasa sejak kecil.

Buktinya, sambil-sambil duduk minum secawan kopi bersama telur separuh masak dan roti kaya yang dibakar dengan arang, kita boleh melihat telatah pelanggan yang keluar masuk ke situ.

Akrabnya mereka boleh dilihat melalui sapaan, gurauan dan usikan sesama mereka. Hubungan yang terjalin bukan hanya di antara pelanggan dan peniaga, tetapi adalah hubungan persahabatan kerana sama-sama membesar melihat perubahan demi perubahan yang berlaku di pekan tersebut.

Manakala bagi Abdul Kadir yang telah 20 tahun menebar roti canai di situ, ia bukan sekadar kedai tempat orang datang bersarapan dan pergi. Tetapi disitulah bermulanya perbualan mengenai hal ehwal kampung, bertanya khabar sahabat dan saudara mara, , kisah-kisah bola, isu semasa hinggalah membawa kepada cerita politik dunia dan negara.

TEMPAT UNTUK SEMUA

Menurut Abdul Kadir, terdapat enam buah kopitiam di pekan tersebut yang boleh dikunjungi pelbagai kaum dan menyediakan makanan halal. Dan tidak hairanlah kenapa kopi tiam Uncle Wong dikunjungi baik kaum Melayu, Cina mahupun India. Sambil menunggu pesanan, mereka akan duduk semeja sambil berbual-bual.

Kopi tiam suatu ketika dahulu berkonsepkan tradisional Cina dan sudah lama diusahakan di negara ini dan juga Singapura. Perkataan kopi tiam adalah gabungan perkataan ‘kopi’ dari bahasa Melayu dan ‘tiam’ pula adalah bahasa ‘Hokkien’ yang bermaksud kedai.

Hari ini, kedai minuman berkonsepkan kopi tiam boleh didapati di mana-mana sahaja dan telah dimodenkan. Ia tetap menjadi tumpuan walaupun pengunjungnya bukan lagi warga emas. Sebaliknya anak –anak muda yang turut sama membincangkan perkara dan hal ehwal yang sama seperti di kopi tiam tradisi.

Walau apa pun konsep kopi tiam yang dibawa, sebagai rakyat Malaysia, kita tetap perlu mengakui, bahawa kopi tiam atau kedai kopi adalah tempat yang dikongsi bersama oleh pelbagai kaum di negara ini. Malah ia juga lokasi yang mengembangkan dan merapatkan lagi hubungan sosial masyarakat Malaysia.

--ACT@2011

 

Sharing is Caring

Gallery Folder